Thursday, September 3, 2009

Aerorel Melaka


Aerorel Melaka merupakan rangkaian aerorel di Melaka. Fasa pertama Aerorel Melaka membabitkan RM586 juta meliputi pembinaan 10 stesen persinggahan bermula dari Plaza Tol Ayer Keroh hingga ke Dataran Pahlawan di Bandar Hilir, manakala fasa kedua bernilai RM807 juta membabitkan jarak sejauh 8.7 kilometer.

Projek yang turut membabitkan hotel di setiap stesen persinggahan dengan jarak sejauh 18.4 kilometer akan dibangunkan Pyramid Express Sdn Bhd dalam dua fasa dan dijadualkan siap sepenuhnya pada suku pertama 2012.

Sembilan stesen lain yang akan dibina adalah Zoo Melaka, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Melaka Mall, Hospital Melaka, Stesen Melaka Sentral, Hang Tuah Mall, Menara Jam Besar (Bangunan Stadthuys) dan Mahkota Medical Centre (Dataran Pahlawan).

Jarak perjalanan bagi fasa pertama adalah sejauh 9.5 kilometer. Setiap 10 lokasi perhentian bakal dilengkapi kemudahan hotel yang menyediakan 2,500 bilik.

Sistem Aerorel di Melaka lebih unik berbanding sistem transit aliran ringan (LRT) ataupun monorel kerana setiap gerabak Aerobus yang menggunakan trek kabel tergantung seperti kereta kabel boleh memuatkan 280 hingga 300 penumpang bagi setiap perjalanan.

Sistem itu bergerak menggunakan kuasa elektrik pada kelajuan 43.4 kilometer sejam (km/sejam) dan mampu mencapai kelajuan sehingga 80 km/jam dan berhenti dua minit di setiap stesen.

Ia dijangka mengurangkan kesesakan trafik dalam bandar dan mengurangkan pencemaran udara. Apabila siap, sistem ini yang menggunakan teknologi Switzerland akan menjadi daya tarikan pelancong terbaru kerana Melaka menjadi negeri pertama di Asia Tenggara menggunakannya.


0 comments: